Wednesday 15 February 2012

Ujian itu ada hikmahnya..


Yakinilah setiap ujian yang diberikan oleh Allah itu ada hikmahnya. Sama ada kita sedar atau tidak ujian itu sebenarnya baik untuk kita. Tidak kiralah ujian itu dari segi apa pun. Ada manusia yang diuji dengan kekayaan untuk melihat sejauh mana dia menggunakan kekayaannya adakah ke jalan Allah ataupun tidak, adakah dia masih bersyukur dan mengagungkan Allah. Dan bila ditimpa jatuh miskin adakah dia masih bersyukur dan sabar menghadapinya. Ada manusia yang diuji dengan kesakitan yang semestinya tidak seorangpun daripada kita menjangkakannya. Mungkin sekarang ini kita sihat tetapi tidak mustahil dalam beberapa saat sahaja kita boleh ditimpa kecelakaan. Mungkin sekarang kita masih boleh berjalan tetapi dengan sekelip mata dengan kuasa Allah kita lumpuh dan terpaksa bergantung pada kerusi roda dan orang sekeliling untuk bergerak.
Manusia juga diuji dengan kelapangan masanya. Adakah dia menggunakan masanya dengan bijaksana ibarat masa itu emas. Usahlah mempersia-siakan masa yang terluang agar akhir nanti kamu tidak menyesal. Penuhilah ia dengan beribadah kepada yang Berhak dan aktiviti berfaedah. Mungkin kamu  akan diuji dengan kesempitan masa  sehinggakan kamu merasa tidak sempat untuk melakukan sesuatu yang seharusnya kamu lakukan. Pepatah arab ada menyebut masa itu ibarat pedang, gunalah pedang itu untuk mengatasi masa bukan masa itu mengejar kamu.
Hakikatnya, kita hanyalah manusia biasa. Kita hanya manusia lemah! Ya kita memang manusia biasa.. kita memang lemah.. tapi ketahuilah kita adalah sebaik- baik kejadian yang diciptakan oleh Allah. Allah mengetahui apa yang baik untuk hambanya. Allah juga menguji hambanya sesuai dengan kemampuannya kerana Dialah menciptakan kita. Kita sering merasa resah, gelisah, sedih, kecewa dan putus asa bila ditimpa musibah. Ada yang sampai yang ingin bunuh diri..astaghfirullahalazim. kembalilah kepada Yang Benar sesungguhnya sesuatu yang berlaku itu ada penyelesaiannya.
 ...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal dia amat baik bagimu….(Al- Baqarah:8)
Ingatilah Dia dikala kamu senang mahupun susah kerana Dia tidak pernah meninggalkan kamu seperti kamu meninggalkan-NYA. Ujian itu diberi itu adalah untuk melihat sejauh mana tahap keimanan kita ada rapuh, biasa- biasa atau teguh dan semakin meningkat. Uji itu adalah untuk mengangkat darjat hambanya di sisinya. Sentiasalah mengingati dan dekat pada-Nya.. luahkanlah segala kerisauanmu, harapanmu di atas tikar sejadah sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha  Mengetahui apa di dalam hati hambanya.
Siapa yang dikehendaki Allah menjadi baik nescaya Allah akan memberinya  cubaan.(Al-Hadis)
Ada di antara kita yang pernah mengimpikan sesuatu yang dihajati  tetapi tidak memperolehnya  malah memperoleh sesuatu yang lain dari yang diimpikan. Tapi ketahuilah itu mungkin satu ketetapan yang telah ditetapkan. Tiada apa pun yang mampu menghalang ia untuk berlaku. Jika tidak memperoleh apa yang dihajati, bersabarlah, tabah dan berusaha untuk terima seadanya.
….tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami…(At-Taubah:51)
Ujian itu juga adalah untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Kita jatuh sakit kerana itulah salah satu cara  ubat penghapus dosa yang telah kita perbuat.  Mungkin juga kerana Dia mengingati kita supaya jangan lupa asal usul dan tujuan kita di muka bumi ini. Bersabarlah… setiap penyakit itu ada penawarnya. Walaupun perit dan pahit untuk kita menghadapinya. Bersyukurlah kerana bukan semua orang yang dipilih untuk menerima ujian seperti kita itu. Sekurang- kurangnya kita ada berpeluang untuk kembali kepangkal jalan. Ujian itu jualah petanda Allah itu menyayangi kita dan mahu kita sedar dari tidur yang panjang.
Mungkin itu semua adalah takdir yang telah ditentukan Allah… ujian untuk hamba-Nya. Kita perlulah bersabar, tabah serta kuat dan redha. Ikhlas dengan segala ketentuan-Nya.

Wednesday 8 February 2012

assalamualaikum...

Satu peningkatan dalam hidupku dimana akhirnya aku berjaya jugak buat blog nie dengan bantuan seorg teman..thanks yep sudi melayan karenah aku nie he..he..
Tujuan aku buat blog nie hanya sekadar  utk meluahkn perasaan dan ilmu yang ku dapat dalam kehidupan aku. Rencah hidupku itulah nama yg timbul dibenak fikiranku ketika membuat blog nie.